BASAHA BANGKU DALAM BAHASA MELAYU
Matlamat Sebutan Baku Bahasa Melayu
Bahasa Melayu sekarang sudah berusia lebih 2000 tahun (Asmah,1999). Jika dilihat dari sudut usianya bahasa Melayu sudah boleh dikelaskan sebagai bahasa yang mantap dan kukuh. Ini boleh dilihat daripada peranannya sebagai bahasa rasmi bagi negara kita, alat komunikasi dalam urusan rasmi dan tidak rasmi. Peranan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan pula tidak perlu dipertikaikan lagi, ia merupakan bahasa ilmu dan asas kepada perpaduan negara. Keyakinan negara dalam meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah kerana bahasa ini sudah ada sistemnya yang tersendiri seperti ditulis oleh Rohizah Halim dan Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail, 2008 bahawa:
”Bahasa Melayu adalah bahasa yang mempunyai struktur dan bersistem, dengan asas yang padu dan kukuh ini, bahasa Melayu jelas sekali telah diperlengkapkan sebagai bahasa intelek dengan wibawa yang kukuh ”.
Namun sebagai bahasa yang hidup dan berkembang, bahasa Melayu khususnya bahasa Melayu baku menempuh banyak proses sejak zaman kesultanan Melayu lagi sehingga pada masa ini. Kini, bahasa Melayu baku menghadapi cabaran dan tekanan ekoran arus pemodenan dan globalisasi. Penggiat bahasa risau, pendidik bimbang apatah lagi pejuang bahasa yang melihat kian hari bahasa Melayu kian tersisih. Kegagalan meletakkan bahasa Melayu ditempat yang sewajarnya memberi kesan kepada perlaksanaan bahasa Melayu baku dengan jayanya.
Bahasa baku ialah bahasa standard, mempunyai struktur yang lengkap dan sempurna dari segi sistem ejaan, tatabahasa, dan kosa kata. Bahasa Melayu baku mempunyai keseragaman dalam empat sistem yang utama iaitu fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik. Sebutan baku pula mencakup aspek fonologi sahaja. Menurut Awang Sariyan (2004), sebutan baku di Malaysia telah ditetapkan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kali Ke-3 (1956) yang memutuskan bahawa sebutan baku ialah sebutan fonemik (berdasarkan ejaan) bukan berdasarkan kelaziman sebutan menurut dialek Riau-Johor. Pelaksanaan sebutan baku di institusi pendidikan khususnya sekolah berjalan serentak dengan KBSM (1988). Tujuan pembakuan bahasa Melayu adalah seperti yang berikut:
Untuk mewujudkan satu variasi sebutan baku dalam bahasa Melayu yang dapat digunakan dalam situasi formal atau situasi rasmi.
Untuk meningkatkan kecekapan berbahasa Melayu dalam kalangan pengguna bahasa.
Untuk memantapkan sistem dan struktur dalaman bahasa Melayu, supaya sistem sebutannya menjadi mantap dan baku sejajar dengan pemantapan dan pembakuan tatabahasa, kosa kata (perbendaharaan kata umum dan istilah), sistem ejaan, dan laras bahasa.
Secara khusus, untuk menyeragamkan cara berbahasa dan bertutur serta mengurangkan penggunaan pelbagai variasi dan gaya sebutan serta menghindarkan penggunaan dialek setempat di dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah
Pelaksanaan Sebutan Baku Bahasa Melayu
Menurut Awang Sariyan (1988:6), ahli- ahli bahasa telah bersependapat tentang dasar sebutan baku Bahasa Melayu iaitu sebutan bagi kata bahasa Melayu hendaklah berdasarkan sebutan fonemik atau sebutan berdasarkan ejaan. Perkara ini adalah bertepatan dengan keterangan K.L pike dalam bukunya Phonemics (1943:57) iaitu ”Kata-kata dieja sebagaimana diucapkan dan diucapkan sebagaimana dieja, dan tidak ada huruf yang senyap”.
Garis panduan dasar umum tentang sebutan baku bahasa Melayu adalah seperti berikut :
Sebutan Huruf: Pada umumnya, setiap huruf dalam ejaan Rumi atau Jawi perlulah dilafazkan dengan jelas mengikut nilai bunyi bahasa Melayu yang dilambangkan.
Sebutan Kata: Sebutan kata hendaklah berdasarkan ejaan secara keseluruhan dan juga berdasarkan bentuk kata (pola pada suku kata) sama ada kata dasar atau kata terbitan.
Intonasi: Intonasi ialah nada suara yang turun naik atau tinggi rendah sewaktu bercakap dan hendaklah berdasarkan jenis dan bentuk ayat atau kalimat dalam Bahasa Melayu serta keperihalan keadaan yang berkenaan.
Huruf dan fonem vokal ‘a’
Sebutan Baku
Vokal ‘a’ dilafazkan dengan [ a ] pada bahagian mana pun ia terletak sama ada terbuka, tertutup, di tengah atau di akhir kata.Ini bermakna vokal ‘a’ disebut seperti mana dieja dan dieja seperti mana dilafazkan.
Fonem vokal yang dilambangkan dengan huruf ‘i’.
Mengikut sebutan baku fonem vokal ‘i’ perlu dibunyikan dengan [ i ], sama ada terletak pada suku kata akhir terbuka dan suku kata tertutup. Ini bermaksud vokal ‘i’ perlu dibunyikan seperti mana dieja. Sebutan Johor-Riau bagi fonem vokal ‘i’ pada suku kata tertutup dibunyikan dengan [e].
Fonem vokal yang dilambangkan dengan huruf ‘u’.
Mengikut sebutan baku fonem vokal ‘u’ perlu dibunyikan dengan [ u ], sama ada terletak pada suku kata akhir terbuka dan suku kata tertutup. Ini bermaksud vokal ‘u’ perlu dibunyikan seperti mana dieja. Sebutan Johor-Riau bagi fonem vokal ‘u’ pada suku kata tertutup dibunyikan dengan [o].
Intonasi dalam Bahasa Melayu
Intonasi ialah nada suara yang turun naik atau tinggi rendah sewaktu bercakap dan hendaklah berdasarkan jenis dan bentuk ayat atau kalimat dalam bahasa Melayu, sama ada ayat penyata biasa, ayat tanya, ayat perintah, ayat terbalik atau songsang atau ayat pasif dan seumpamanya. Intonasi bahasa Melayu dapat dikenali dan digayakan dengan empat tingkat nada yang biasa ditandai dengan angka 1, 2, 3 dan 4. Angka 1 menandai nada yang paling rendah dan angka 4 menandai nada yang paling tinggi. Nada 2 memulakan ujaran dan nada 3 merupakan nada tekanan. Intonasi bahasa Melayu mempunyai hubungan yang rapat dengan sintaksis, iaitu dapat membezakan jenis dan bentuk ayat. Intonasi wujud dalam bahasa Melayu bagi menandai dan memisahkan frasa yang pelbagai jenis dan bentuknya.
Ada beberapa fungsi intonasi. Antaranya:
Fungsi emosional: Untuk menyatakan pelbagai makna sikap, seperti kegembiraan, kebosanan, kemarahan, kekejutan, keakraban, kekecualian, ketakutan dan ratusan sikap yang lain.
Fungsi gramatis: Untuk menandakan kontras dari segi tatabahasa terhadap sesuatu ujaran, sama ada sesebuah klausa atau ayat itu berupa pertanyaan atau pernyataan, positif atau negatif dan seumpamanya.
Fungsi struktur informasi: Untuk memberikan sesuatu yang baru berbanding dengan yang telah dimaklumi dalam makna sesebuah ujaran iaitu dengan menekankan kata yang membawa makna tersebut.
Fungsi tekstual: Untuk membentuk nada dan gaya suara yang turun naik bagi wacana yang lebih luas seperti pembacaan teks berita yang membezakan satu berita dengan berita yang lain.
Fungsi psikologi: Untuk membantu menggubah bahasa menjadi unit-unit ujaran yang mudah dilihat dan diingat, seperti belajar urutan nombor yang panjang atau ungkapan dalam ucapan.
Fungsi ‘indexical’: Untuk menandai identiti seseorang, iaitu membantu mengenali seseorang sama ada tergolong dalam kumpulan sosial atau pekerjaan yang berbeza, seperti khatib, penjual ubat atau sarjan tentera.
Sebutan bagi Nama Khas
Nama orang di Malaysia atau di luar Malaysia dilafazkan menurut kebiasaan orang yang empunya nama atau kebiasaan setempat atau kebiasaan antarabangsa. Contohnya:
Ejaan
Sebutan
Muhammad Hatta
[mu.ham.mad hat.ta]
James Bond
[jéms bÕnd]
Nelson Mandela
[nẼl.sen man.dé.la]
Lim Keng Yaik
[lim kéng yék]
Boutros Boutros-Ghali
[but.ros but.ros gha.li]
Nama tempat di Malaysia atau di luar Malaysia dilafazkan menurut kebiasaan sebutan setempat atau kebiasaan antarabangsa. Contohnya:
Ejaan
Sebutan
Selangor Darul Ehsan
[se.la.ngor da.rul éh.san]
Bosnia-Herzegovina
[bos.nia her.ze.go.vi.na]
Pyongyang
[pyong.yang]
New Zealand
[niu zi.lẼnd]
Sunway Lagoon
[sun.wéi le.gun]
Nama Khas yang lain yang mengandungi atau tidak mengandungi nama orang atau nama tempat dilafazkan menurut sistem sebutan baku bahasa Melayu. Contohnya:
Ejaan
Sebutan
Bank Bumiputera
[baângk bu.mi.pu.te.ra]
Radio Televisyen Malaysia
[ra.dio té.lé.vi.syen me.lé.sia]
Universiti Teknologi Malaysia
[u.ni.ver.si.ti ték.no.lo.gi me.lé.sia]
Agensi Pengiklanan Multimedia
[a.gén.si pe.ngi.la.nan mul.ti.mé.dia] atau [a.gén.si peng. Öik.la.nan mul.ti.mé.dia]
Akronim atau singkatan yang terbentuk sebagai kata (dalam bahasa Melayu atau bukan bahasa Melayu) dilafazkan dengan dua cara iaitu (i) cara sebutan akronim menurut cara pemenggalan suku kata ejaan, atau (ii) cara sebutan ungkapan atau nama yang penuh. Contohnya:
Ejaan
Sebutan
Felda
[fél.da] atau (Federal Land Development Authority)
(Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan)
UNESCO
[yu.nés.ko] atau (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization)
UMNO
[am.no] atau (United Malays National Organization) (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu)
tadika
[ta.di.ka] atau (taman didikan kanak-kanak)
ADUN
[a.dun] atau (Ahli Dewan Undangan Negeri)
Plus
[plus] atau (Projek Lebuh Raya Utara-Selatan)
Akronim yang tidak berbentuk kata dan singkatan jenis inisialisme dalam ejaan Rumi dilafazkan dengan dua cara, iaitu (i) cara sebutan singkatan menurut bunyi huruf Rumi, atau (ii) cara sebutan ungkapan atau nama yang penuh. Contohnya:
Ejaan
Sebutan
DBP
[di.bi.pi] atau (Dewan Bahasa dan Pustaka)
TLDM
[ti.él.di.ém] atau (Tentera Laut Diraja Malaysia)
JKKK
[jé.ké.ké.ké] atau (Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung)
RTM
[ar.ti.ém] atau (Radio Televisyen Malaysia)
PLO
[pi.él.o] atau (Palestinian Liberation Organization)
(Pertubuhan Pembebasan Palestin)
Comments
Post a Comment